Aktiviti Terkini



18 April 2017, Selasa

Pada 17hb April 2017, Institut Wanita Berdaya (IWB) telah mengadakan satu sesi taklimat dua hala bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO Consultation) di Auditorium IDE, Shah Alam. Taklimat ini juga di hadiri oleh Cik Juwairiya Zulkifli mewakili Pejabat Exco Wanita, Puan Rabiah Omar, CEO IWB, Y.B. Puan Haniza Mohamed Talha, Lembaga Pengarah IWB dan juga Y.B. Zuraida Kamaruddin, Penasihat IWB. Antara NGO yang hadir termasuk Puan Maria Chin mewakili BERSIH 2.0, Women’s Aid Organisation (WAO), United Nation Development Program (UNDP), Active FAST Center (ABIM), Ikram dan National Council of Women’s Organisations Malaysia (NCWO).

Sesi ini adalah bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada kumpulan- kumpulan NGO berkaitan Dasar Wanita Selangor yang sedang dalam proses penggubalan oleh perunding-perunding yang di lantik oleh IWB. Mereka adalah Prof Dr. Maznah Mohamad dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Dr. Cecilia Ng, Pengasas Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), dan Dr. tan beng hui, yang terkenal dengan tesis beliau iaitu Sexuality, Islam and Politics in Malaysia: A Study on The Shifting Strategies of Regulation.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Y.B. Puan Haniza Talha sebelum sesi pembentangan oleh perundingan bermula. Pembentangan dibahagikan kepada tiga bahagian utama; Development, Representation and Decision Making oleh Dr. Cecilia Ng, Economy and Livelihood oleh Prof Dr. Maznah Mohamad, dan yang terakhir, Well-being and Security oleh Dr. tan beng hui. Sesi dua hala dan perbincangan diadakan selepas setiap sesi pembentangan.

Kesemua persoalan dan cadangan direkodkan untuk penambahbaikan dan semakan semula usul Dasar Wanita Selangor dan juga program-program yang akan dijalankan oleh IWB. Sesi taklimat berjalan dengan lancar dan komunikasi dua hala yang efektif antara NGO dan hos. Penyertaan lebih ramai NGO tentunya akan menambah lebih banyak input dalam proses ‘crowd sourcing’. Pihak IWB mengharapkan lebih banyak penyertaan dari pelbagai pihak untuk sesi meja bulat atau perbincangan seterusnya yang akan diadakan dari semasa ke semasa.